Monday, May 17, 2010

[Jom Selam] Pulau Lang Tengah

Destinasi : Pulau Lang Tengah

Selam skuba beri pengalaman baru

Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my
2010/07/01
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MEMANG teruja apabila terpilih mengikuti kursus selam skuba, apatah lagi ia memerlukan kemahiran menyelam.
KENANGAN...17 peserta dan jurulatih bergambar kenangan selepas program.
KENANGAN...17 peserta dan jurulatih bergambar kenangan selepas program.

sebelum - selepas

BEGINI...jurulatih, Borhanudin menunjukkan teknik 'Giant Strike' kepada peserta. PERIKSA...peserta memeriksa peralatan sebelum membuat selaman. CUBA...peserta membuat latihan finning (sirip selam).


BEGINI...jurulatih, Borhanudin menunjukkan teknik 'Giant Strike' kepada peserta.
Namun, sebaik menjejakkan kaki ke Pulau Lang Tengah, Merang, Setiu, Terengganu, rasa takut dan gentar hilang sama sekali apabila dimaklumkan jurulatih, menyelam tidak semestinya perlu mahir berenang.

Ternyata ia satu realiti apabila 17 peserta yang mengikuti Program Pengenalan Selam Skuba dan Dasar Laut Siri 2010 anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Negeri Terengganu, baru-baru ini, menamatkan latihan dengan cemerlang.

Sebaik menjejakkan kaki ke air bersama pelbagai kelengkapan selam skuba asas seperti buoyancy control device (BCD - alat atau jaket kawalan imbangan badan), mask atau gogal (cermin mata selaman), fin (sirip selam) dan wetsuit (baju basah), pelbagai aksi melucukan dapat dilihat.

Ada peserta yang tersilap mengenakan peralatan, terjatuh kerana tidak dapat mengimbangkan badan selain muncul secara tiba-tiba di permukaan air kerana gagal bernafas dengan baik.

Bagaimanapun, selepas beberapa kali menjalani latihan di air, peserta kian yakin sehingga berpeluang mengikuti dua selam skuba secara santai di Batu Kucing dan Blue Coral di Pulau Lang Tengah selain terjun bersama peralatan dari bot menggunakan teknik 'Giant Strike Entry'.

Malah, ada peserta yang mempamerkan kemahiran diajar seperti 'hovering' iaitu mengimbangkan badan tanpa bergerak di air, mengambil gambar dan pelbagai aksi tersendiri.

Pengarah Tourism Malaysia Negeri Terengganu, Suhaimi Abu Hassan Shari, berkata program pertama kali yang dianjurkan itu menjadi titik mula untuk pegawai pelancongan merasai sendiri pengalaman selam skuba dan keindahan perairan di Terengganu.

"Kita percaya dengan adanya program sebegini, pegawai pelancongan lebih mahir dalam tugasan mereka dan memberi nilai tambah kepada produk pelancongan," katanya.

Wakil penganjur, Nur Natasha Berhanuddin, berkata kursus itu bukan saja memperkenalkan selam skuba, tetapi produk pelancongan di Terengganu.

Katanya, Terengganu memang sinonim dengan keindahan pulau dan pelbagai produk pelancongan yang menjadi tumpuan ramai pelancong dalam dan luar negara.
"Produk pelancongan seperti selam skuba ini bukan saja memberi pengalaman baru kepada penggemar dunia dasar laut, malah menjana ekonomi negeri," katanya.

Sementara itu, jurulatih selam skuba dari Harum Serantau, Borhanudin Mohd Yusof, berkata sesiapa sahaja boleh mempelajari selam skuba asalkan mempunyai minat.

"Berada di dasar laut tidak sama dengan di darat kerana di sini, kita akan kagum dengan keindahan yang dilihat secara langsung dan bukannya secara rakaman. "Tidak semua orang berpeluang menyelam di dasar laut, inilah keseronokan selam skuba," katanya.

Sepanjang kursus selam skuba itu, peserta berpeluang meninjau empat resort di Pulau Lang Tengah iaitu Redang Lang Island Resort, Lang Sari Resort, D'coconut Lagoon dan Sari Pacifica Resort & Spa Lang Tengah yang menaja makan tengah hari peserta kursus selam skuba.
Kursus selam skuba kali ini juga diserikan dengan kehadiran pelakon muda berbakat besar, Raja Farah Raja Aziz yang memiliki lesen skuba.

Katanya, dia teruja kerana berpeluang mengikut program ini buat kali kedua bersama pegawai pelancongan Tourism Malaysia dari setiap negeri.

"Selam skuba satu hobi yang sangat menarik kerana ia sangat menakjubkan apabila kita dapat melihat perkara baru di dasar laut," katanya.
Sumber
Pulau Lang Tengah merupakan sebuah Pulau di Terengganu yang terletak di antara Pulau Perhentian dan Pulau Redang. Pulau ini kecil dan tidak berpenghuni kecuali mereka yang datang melancong dan juga pekerja resort@hotel. Keindahan pulau ini terselah dengan Air sejernih kristal , pantai yang memutih dan hutan yang tidak disentuh lagi.


Perjalanan dari Jeti Merang akan mengambil masa kira-kira 40 Minit jika menaiki Bot Laju manakala jika menaiki Bot Biasa akan mengambil masa 1 Jam 30 minit. Aktiviti yang anda boleh lakukan di Pulau ini ialah seperti Menyelam, Snorkeling, dan Melihat Penyu, berehat, Jungle trekking, Memancing dan Aktiviti pantai lain. Terdapat lebih 12 tempat menyelam di Pulau ini dengan 30 tempat menyelam di Pulau Redang, Pulau perhentian, dan Pulau Bidong.

0 Komen:

Copyright Tourism Malaysia
 

Perihal Blog dan Diriku

Blog ini diwujudkan sebagai tempat rujukan dan panduan kepada Pelancong dari dalam atau luar negeri Terengganu. Artikel yang dikarang adalah berasal dari buah pemikiran penulis sendiri berasaskan fakta dan rujukan dari buku dan media lain. Tidak wujud plagiat dalam penulisan dan juga dari sudut media iaitu gambar-gambar yang dipamerkan (watermart jomterengganu.blogspot.com) adalah hak milik blog ini dan tidak diambil dari mana-mana sumber lain. Sebarang masalah dan pertanyaan boleh email kepada saya selaku penulis blog di jomterengganu@gmail.com

Media