Showing posts with label Catatan Kembara. Show all posts
Showing posts with label Catatan Kembara. Show all posts

Saturday, May 1, 2010

"Jangan Lupa Kepok Lekor"

Destinasi : Keropok Lekor 008

Pukul 11.30, Aku bertolak ke Kuala Lumpur atas urusan keluarga. Bertolak dari KualaTerengganu, bakal melalui Marang, Dungun, dan Kemaman. Teringat pesanan dari KL, "Jangan lupa bawak keropok lekor", membuatkan aku terpikir, kat mana nak berhenti beli ya. Hurm..Argh tak perlu pikir pon sebenarnya..hahaha.. Disebabkan aku akan melalui daerah marang sebelah pantai, sudah tentu aku akan melalui Pantai Kelulut.

Destinasi membeli keropok ku adalah di Keropok Lekor 008. Nama yang mungkin baru naik dalam 1 2 tahun kebelakangan ini, meniti di bibir mulut para pengunjung ke Marang ini. Kesegaran dan keenakkan keropok lekornya memang asyik diperkatakan. Sebaik sahaja sampai di Kedai ini aku terus melakukan tinjaun keropok lekor di samping keropok keping untuk di bawa ke KL. Harga keropok lekor satu bungkus ialah RM 5 bagi saiz besar dan RM 3 bagi saiz kecil. Ada yang berharga RM10. Dan keropok lekor ini ada yang sudah digoreng dan ada yang hanya direbus. Bergantung kepada selera pelanggan untuk memilih.

Selain itu, di sini turun menjual produk lain seperti kuih-muih tradisional dan pencicah sebagai buah tangan untuk pengunjung membawa balik. Di sini juga mereka yang tidak sabar-sabar untuk menjamu keropok lekor sambil menikmati pemandangan laut boleh terus menikmatinya di bawah khemah yang disediakan. Selain rasa keropok yang segar, jurujualnya amat peramah.hehe




Pernah Melawat? Ingin Bertanya? Berikan Komen Anda Mengenai Tempat ini.TQ



Thursday, April 29, 2010

Jom Chandat Boh!!

Destinasi : Berhampiran Pulau Kapas

Geng Chandat dari Marang

Yeah..Musim Chandat Sotong Kembali!! Petang Khamis 29 April, aku bersama geng-geng dari Marang bersiap sedia untuk turun ke laut. Ini pengalaman kedua turun berchandat di Terengganu. Imbas sedikit, sebelum sampai ke Jeti Chendering ini, aku singgah di Pusat Bandaraya membeli sedikit peralatan untuk menchandat. Walaupun alat chandat ini kebiasaannya sudah disediakan di atas bot, tapi mungkin aku lebih berpuas hati dengan alatan ku sendiri. Ok kembali ke pada cerita di jeti, selepas menunaikan Solat Asar, kami turun ke bot dengan alatan dan bersedia untuk berlabuh dari Jeti Chendering menuju ke Destinasi Chandat iaitu berhampiran dengan Pulau Kapas.

Stenby nok terjun

Menunggu sampai ke destinasi
Perjalanan yang memakan masa hampir satu jam ini memberi peluang kepada aku untuk menikmati pemandangan laut dan daratan. Sungguh indah dan mengasyikkan. Dan sempat juga aku menyiapkan kelengkapan ku untuk berchandat. Disebabkan aku ni sedikit mabuk laut jadi gambar kat atas bot tidak banyak di"snap". Destinasi pertama yang kami tuju tidak banyak mendatangkan hasil. Kemudian kami berpindah ke lokasi seterusnya di bawah pimpinan kapten kami Ust Mahari.

Guane beso dok?
Alhamdulillah, sebaik sahaja kami melabuhkan chandat kami di lokasi seterusnya, Ust. Mahari berjaya menaikkan sotong dengan hanya menunggu 2 minit. Kemudian dituruti dengan krew-krew yang lain. Sememangnya kami berpesta sotong malam ni. Dan hanya bot kami sahaja yang berchandat di kawasan ini membolehkan hasil tuaian dibolot oleh kami.

Hasil Tangkapan 5 jam
Selepas hampir 5 jam kami berchandat, enjin genarator tiba-tiba rosak menyebabkan bot kami kegelapan. Kemudian kami mengambil keputusan untuk balik lebih awal dari sepatutnya. Dalam perjalanan balik aku mengemaskan peralatan. Sampai di jeti semua berkumpul untuk membahagikan hasil tangkapan. Kira 200 ekor sotong berjaya kami naikkan. Selepas membahagikan sotong-sotong tersebut aku pulang dengan hati yang riang..lalala..esok aku akan ke KL..jadi akan singgah di tempat menarik sepanjang perjalanan. Nanti kan komentar dari ku..Wassalam

Bergambar untuk kenangan


Pernah Berchandat? Ingin Bertanya? Berikan Komen Anda Mengenai Artikel ini.TQ

Wednesday, April 21, 2010

Besarnya Gelas!!

Destinasi : Seberang Takir

Uish...mungkin itulah ayat pertama keluar dari mulut pengunjung kedai air buah gelas besar yang terletak di Kg Serang Takir. Aku dan kawanku sempat meluangkan masa untuk ke kedai ini bagi mencuba lagi air buah gelas besar. Kalau tak silap pengiraanku, ini kali ke 5 aku ke kedai ini untuk menikmati air buah gelas besar ini.
Pelayan kedai mendekati sambil bertanya " Minum?". Hurm aku pun sambil memandang ke rak yang menempatkan gelas-gelas yang bersaiz istimewa itu terus berkata, "gelas saiz serdehana je lah kak, tak mboh(mahu) beso(besar2) kekgi(nanti) tak abih(habis)". "Makan?", Kakak tu bertanya lagi, "Laksa Terengganu la". Kemudian tidak lama kemudian air dan makanan ku sampai.
Huhu...habis tak ni...aku mula bertanding dengan kawanku, siapa paling cepat habis minum dia menang..ekeke...Pertandingan dimulakan, disebabkan air kegemaranku air mempelam, aku mendahului pertandingan. Dan kawanku masih tercari-cari rentak pertandingan. Namun akhirnya aku berjaya menghabiskan minuman dan makanan lebih cepat dari rakanku.

--------------------------------------------------
Peta Perjalanan Dari Kuala Terengganu :


Besarkan Peta

Friday, April 16, 2010

Pusing-Pusing Kampung

Destinasi : Kg Fikri - Setiu

Petang ini aku akan pulang ke rumah nenek ku yang terletak di daerah Setiu, Kg Fikri. Dalam perjalanan pulang ke kampung. Sempat aku meng"snap" beberapa keping gambar untuk di masukkan ke dalam blog ini.

Pemandangan Senja di Kampung Fikri
Aku meluangkan masa pada sebelah petang untuk pusing-pusing (berjalan jalan) ke kampung bersebelahan bagi melihat perubahan yang berlaku. Dalam pusing-pusing, aku dapat melihat banyak perubahan yang berlaku di kampung ini dan kampung-kampung bersebelahan.

Gambar di atas ialah gambar kolam ikan yang diternak oleh penduduk tempatan. Gambar ini aku ambil di kampung sebelah, Kg Pengkalan Gelap. Terdapat lebih dari 10 penternak ikan di kawasan ini. Mereka menternak ikan seperti ikan kakap putih dan merah. Selain itu ada juga yang menternak udang.


Aku sempat mengambil beberapa keping gambar gelagat kera di kawasan ini. Kera-kera ini dilihat sedang bermain-main di atas jalan. Jalan ini adalah jalan yang kurang dilalui oleh kenderaan. Maka sesiapa yang melalui jalan ini mudah terserempak dengan hidupan ini.



Sunday, April 11, 2010

[Jom Makan] Mesra Mall dan Kuali



Destinasi : Mesra Mall

Penat 5 jam memandu dari Kuala Lumpur ke Terengganu. Melalui Kemaman, kemudian Kerteh dan singgah di Mesra Mall. Aku behenti seketika untuk menunaikan solat dan makan. Pemandangan pertama yang dapat di lihat di sini ialah kemeriahan Mesra Mall ini yang dipenuhi dengan kereta dan orang ramai yang berpusu-pusu mengunjunginya. Dari luar tersergam keindahan tempat perhentian ini dengan rekaan yang memanjang.

Setelah selasai mencari parking, surau menjadi tempat tuju bagi menunaikan solat yang tertangguh. Setelah selesai menunaikan solat, aku menyedari perutku terasa lapar. Di dalam mall ini terdapat banyak gerai-gerai makanan yang tersusun rapi. Terasa rambang mata untuk memilih tempat makan, perut pula semakin lapar hehe.. Ternampak sebuah gerai di hujung sudut sana, Hot Pot.. Apakah itu? Hurm ingin ku cuba makan. Melihat kepada menu yang pelbagai menyebabkan aku tak keruan lagi. Lantas aku pilih sahaja menu yang nampak sedap. Air pula aku memilih air sirap limau sebagai pembasah tekak aku yang kering ini.

Makanan Hot Pot sudah sampai, jom rasa. Hurm terasa kelainan menyerap dalam diriku, kerana inilah pertama kali aku merasa masakan hot pot ini. Rasanya cukup berbeza mungkin kerana ini kali pertama aku merasa. Rasanya hurmm unik. Ketika sedang menjamu selera, terpandang di hujung sudut terdapat satu gerai. Nama gerai itu ialah "Kuali". Hurm.. Kuali? First impression ialah mereka ni jual kuali ke? tapi nampaknua mereka dah silap bahagian, sebab sini ialah sudut nimakanan. Tengok punya tengok, rupa-rupanya mereka ni jual menjual makanan dan makanan mereka diletakkan di dalam kuali. Dan itulah kekuatan gerai tersebut.


Selepas selesai makan, aku berjalan-jalan melihat lot-lot kedai di dalam Mall ini. Dan memang terdapat banyak kedai-kedai yang unik dan menarik untuk dikunjungi. Aku meneruskan perjalanan balik ke Kuala Terengganu tidak lama selepas itu kerana esok kerja.

[Jom Daki]Gunung Gagau

Destinasi : Gunung Gagau

Sebuah lagi Gunung yang pernah ku daki di antara gunung-gunung lain di Malaysia. Ekspedisi yang bermula di Empangan Jenagor akan menuju destinasi iaitu di kaki gunung Gagau. Eksoedisi ini disertai 30 orang perserta dan 5 orang guide sebagai penunjuk arah ke sana. Untuk ke sana kami menaiki 2 buah bot. Perjalanan ini bakal merentasi Tasik Kenyir selama 5 jam untuk sampai ke tapak perkhemahan.

Dalam perjalanan kami ke sana, semestinya perut akan mula berbunyi kerana sudah sampai waktu makan. Makan nasi bungkus? ekekeke kami memasak di atas bot. segala kelengkapan memasak tersedia di atas bot. Apa yang perlu di bawa ialah bahan mentah sahaja. Kepada mereka yang nak makan ikan segar boleh la labuhkan mata kail anda ke dalam air di tasik kenyir ini. Mana tau boleh dapat ikan toman. Pasti sedap menjamu selera.

Selepas hampir 6 jam perjalanan menaiki bot ke tapak perkhemahan kami di Permulaan Sungai Cicir. Ini merupakan tempat bermula pendakian kami ke Gunung Gagau. Sebenarnya kami tidaklah mendaki sampai ke puncak, tapi hanya separuh jalan sahaja. Kerana untuk mendaki gunung ini mengambil masa yang agak lama.

Setelah sampai di tapak perkhemahan aku terjun ke dalam air untuk mandi. Air nya terasa sedikit sejuk, mungkin kerana hari sudah senja. Kemudian setelah selesai memasang khemah sedikit taklimat diberikan bagi menerangkan langkah-langkah keselamatan yang harus dititikberatkan semasa di dalam hutan.

Keesokkan paginya kami bersedia untuk mendaki, perjalanan mengambil masa 2 jam untuk ke sampai ke pertengahan jalan ke puncak. Perjalanan ke atas haruslah berhati-hati dan tidak terpisah dari anggota yang lain kerana terdapat banyak jalan yang bercadang di tengah-tengah jalan. Dan aku sendiri telah tersesat sejauh beberapa ratus meter akibat terpisah dari rakan-rakan dan jalan bercabang ini. Setelah hampir dua jam berjalan kami sampai di pertengahan jalan ke puncak gunung gagau. Terdapat alur mata air yang menyusuri ke bawah dan menjadi tempat persinggahan sementara pendaki. Kami berhenti rehat seketika sebelum beransur-ansur turun kembali ke tapak perkhemahan. Air sungai yang jernih mengalir ini terus boleh diminum. Mereka yang kehabisan air boleh menggunakan air ini sebagai bekalan semasa perjalanan turun nanti.

Setelah sampai di tapak perkhemahan kami berehat dan malam tersebuat diadakan sedikit aktiviti dalam kumpulan. Keesokkan harinya kami menaiki bot bergerak ke sebuah gua di tasik kenyir iaitu Gua Kelawar. Di dalam gua ni terdapat banyak tahi kelawar, dan mungkin kerana inilah namanya Gua Kelawar.


Kongsikan Bersama


Ku Di Pulau Redang

Destinasi : Pulau Redang

Aku bersama rakan-rakan ku telah merancang untuk bercuti di sebuah pulau di Terengganu.Aku dan rakan ku telah memilih untuk menetap di sebuah Resort di pulau tersebut iaitu Laguna Redang Resort. Alhamdulillah, pemergian kami ke pulau ini di taja sepenuhnya oleh seorang dari rakan kami yang turut serta dalam percutian ini. Kadar bayaran untuk seorang adalah RM 600 iaitu pakej 4 hari 3 malam. Ini adalah kali kedua aku menjejakkan kaki ke pulau redang dan menginap di resort yang sama.

Kami bertolak dari Jeti Shahbandar dekat Pasar Payang dengan menaiki bot yang bakal mengambil masa kira-kira 2 jam. Disebabkan jeti Merang ditutup akibat daripada hakisan pantai maka ia dipindahkan ke Jeti Syahbandar.

Sebaik sahaja kami sampai di resort tersebut, pihak resort telah menyajikan kami dengan air asam yang mana air ini berkesan untuk manghilangkkan pening-pening ketika menaiki bot selama 2 jam. Setelah makan tengah hari kami megambil kunci bilik dan menuju ke bilik untuk istirehat seketika dan memunggah barang-barang kami.


Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di waktu petang di Pulau Redang ini, antaranya snorkelling, bermain bola tampar, bola sepak pantai, mandi laut, melihat matahari terbenam, dan bersantai menhadap laut yang tersergam indah. Aku dan rakan ku memulakan aktiviti petang di pulau redang dengan terjun ke laut. Haha pasti seronok jika anda datang ke pulau ini berkumpulan. Selepas mandi kami teruskan aktiviti dengan bermain bola tampar. Bola disediakan oleh pihak pengurusan resort secara percuma.


-Aku berbaju merah-

Selepas penat bermain kami terjun kembali ke laut menghabiskan sisa-sisa petang sebelum ke kolam renang untuk membilas. Kolam renang di laguna ini mempunyai sebuah kolam kecil seakan akan kolam air panas kecil. Terasa selesa selepas penat bermain dan bergembira dapat berendam di dalam kolam air panas ini.




Pada Sebelah malamnya pula, aktiviti yang petama kami buat ialah makan. Makan sepuas puasnya, hehe sebab sememangnya lapar disebabkan aktiviti petang tadi. Hidangan berkonsepkan buffet menjadi pilihan di Laguna Beach Resort. Terdapat banyak jenis makanan sama ada berkonsepkan tradisional atau masakan kampung hinggalah kepada western food bagi pelancong asing yang datang.


Selepas selasai makan, kami bergerak ke bilik permainan yang mana menyediakan banyak permainan kepada penetap di situ bagi mengisi masa terluang. Selain itu aktiviti malam yang boleh di buat di situ adalah berjalan malam merentasi kawasan sekitar resort. Ini kerana resort ini bersebelah dengan resort-resort lain seperti Reef resort.

-Nasrul N Shahril bermain carrom-

Pada keesokkan paginya kami bersiap sedia bagi aktiviti seterusnya iaitu snorkelling di Taman Laut di Pulau Pinang (Bukan Pulau Pinang dekat kedah yer). Jaket dan alat snorkeling yang lain boleh didapati dengan menyewa alat itu di kaunter resort. Bagi mereka yang berkaca mata, rabun jauh dan rabun dekat mereka boleh mendapatkan google yang berkuasa seperti kaca mata di kaunter tersebut. Selain itu bahan yang pasti anda tidak mahu lepaskan untuk dibeli ialah roti. Nak sarapan ke? Tak la, ia sebagai makanan untuk ikan-ikan semasa snorkeling nanti.

-Sedang bersiap sedia nak snorkelling-

Di taman laut ini terdapat ikan-ikan dan batu karang. Terdapat juga juru kamera yang akan merakamkan aksi anda di dalam laut dengan dikenakan bayaran sebanyak RM5 bagi setiap keping gambar. Mahal ke? Tidak lah mahal jika dibandingkan dengan kenangan anda di dalam air dengan dikelilingi ikan-ikan dan batu karang.

-Gambarku di dalam air di Taman Laut Pulau Redang-

Selepas penat kami bermesra dengan ikan-ikan di sini kami pulang ke resort dengan perut yang sudah berbunyi...grup...grupppp... Jadi kenangan di Pulau Redang dari hari tiba sehingga hari pulang sememangnya indah dan dikenang. Sememangnya perasaan ingin kembali itu telah tertanam dengan sendirinya. Tunggu kedatangan kami Pulau Redang.



Copyright Tourism Malaysia
 

Perihal Blog dan Diriku

Blog ini diwujudkan sebagai tempat rujukan dan panduan kepada Pelancong dari dalam atau luar negeri Terengganu. Artikel yang dikarang adalah berasal dari buah pemikiran penulis sendiri berasaskan fakta dan rujukan dari buku dan media lain. Tidak wujud plagiat dalam penulisan dan juga dari sudut media iaitu gambar-gambar yang dipamerkan (watermart jomterengganu.blogspot.com) adalah hak milik blog ini dan tidak diambil dari mana-mana sumber lain. Sebarang masalah dan pertanyaan boleh email kepada saya selaku penulis blog di jomterengganu@gmail.com

Media