Friday, May 14, 2010

[Jom Lawat] Desa Ukiran kayu

Destinasi : Desa Ukiran Kayu, Besut

Terletak di Kg Raja, merupakan sebuah kampung di daerah Besut. Ia merupakan sebuah tempat latihan untuk melatih para pemuda Terengganu dengan kemahiran kayu. Ia diuruskan oleh Yayasan Usahawan Terengganu dan ditaja sendiri oleh Kerajaan Negeri Terengganu. Untuk sampai ke Kg ini, pengunjung boleh menaiki kenderaan persendirian atau pengangkutan awam.



Berikut adalah petikan sejarah dari blog rasmi desaukirankayu.blogspot.com :

MENGENALI TOKOH PENGUKIR TEMPATAN

1. Allahyarham Y.M Tengku Ibrahin bin Tengku Wook

Tengku Ibrahim bin Tengku Wook atau lebih dikenali di kalangan masyarakat tempatan sebagai ‘Ayoh Ku’ merupakan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1929. Allahyarham kemudiannya telah berhijrah dan menetap di Kg. Gong Kemuntong, Besut, Terengganu.
Beliau mula melibatkan diri dalam bidang ukiran ketika berusia 16 tahun dengan mengukir tingkap rumah dan kepala katil. Kemahiran beliau amatlah disanjung sehingga diberi kepercayaan dan tanggungjawab oleh Perbadanan Kemajuan Kraf Malaysia Cawangan Terengganu untuk melatih 14 orang pelajar dalam bidang ukiran halus.
Hasil daripada penglibatan beliau dalam bidang seni ukiran, beliau telah dianugerahkan gelaran ‘Tokoh Kraf Negara’ pada tahun 1999. Pada tahun 2000 Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir, meninggalkan hasil tangan yang diharapkan akan terus di kagumi oleh generasi akan datang.

2. Allahyarham Che Long bin Yusof

Allahyarham Che Long bin Yusof dilahirkan pada tahun 1868 dan meninggal pada tahun 1962 merupakan penggiat seni yang aktif khususnya dalam bidang seni ukiran tradisional melayu.
Allahyarham menghasilkan mimbar, perahu, pintu, panel hiasan dinding, keris dan senjata tradisional melayu. Antara hasil kerjanya terdapat di Istana Sultan Abu Bakar, Johor dan Istana Tengku Long, Kg. Raja.
Antara anak-anaknya yang turut mewarisi bakat Allahyarham ialah Allahyarham Abd. Rahman bin Long, Mohd Nor bin Long dan Abd. Latif bin Long.


3. Allahyarham Abd. Rahman bin Long PJK

Allahyarham Abd. Rahman bin Long yang dikenali dengan nama Che Man Ukir dilahirkan di Kg. Cawat Kuala Besut pada tahun 1941 dan telah meninggal pada 25 Mei 2005.
Allahyarham yang telah membuat kerjatangan daripada kayu, tempurung dan tanduk sejak masih kanak-kanak mempelajari ilmu ukiran kayu daripada bapa beliau iaitu Che Long bin Yusof.
Allahyarham telah membuka bengkel Pakatan Jurukir Tradisional di Pengkalan Chepa, Kelantan pada tahun 1975 dan sebuah lagi bengkel di Kg, Sentosa Pengkalan Nyireh, Besut pada tahun 1984.
Antara hasil ukiran beliau ialah; hiasan dalaman Istana Kayangan Shah Alam, Istana Negara Kuala Lumpur, Masjid Annur di Woodland Singapura, Istana Arau di Perlis, Masjid Negeri di Pulau Pinang, Istana Melawati dan Dewan Undangan Negeri Selangor.

4. Mohd Salizan bin Abd Rahman

Mohd Salizan dilahirkan pada tahun 1969 merupakan anak kepada Allahyarham Abd Rahman bin Long. Beliau mendapat pendidikan di peringkat Diploma Senibina dari University of Lincolnshire and Humbersire, UK.
Setelah menamatkan pengajian beliau mula aktif dalam bidang seni ukiran melayu, malah sebenarnya semenjak kecil beliau telah dididik oleh bapa beliau untuk meneruskan tradisi ini.
Antara hasil kerja beliau ialah ukiran hiasan di Istana Kedahdan Istana Kuala Kangsar. Beliau kini mengusahakan bengkel ukiran iaitu Pakatan Jurukir Tradisional dan Jurukir Tradisional Sdn Bhd bersama adik beradik beliau iaitu Zulkifli, Syamsul Anua dan Mohd Shazrimin.

5. Haji Wan Su bin Othman A.M.N, P.J.K

Hj. Wan Su bin Othman dilahirkan pada tahun 1900 di Pengkalan Kubur, Tumpat, Kelantan. Beliau telah berhijrah ke Kg. Raja, Besut pada tahun 1947.
Pada awalnya, beliau membuat kerja-kerja tangan seperti replika perahu layar, wayang kulit dan wau cantik. Hasil karya beliau mendapat sambutan di kalangan peminat seni dan sering memenangi pertandingan yang disertainya. Beliau kemudiannya menubuhkan Bengkel Seni Ukir Wan Su di Kg. Alur Lintang pada tahun 1965.
Di antara hasil kerja beliau adalah Mimbar Masjid Kg. Alur Lintang, Besut, Pintu Besar Istana Badariah di Kuala Terengganu, Pentas Panca Persada Istana Maziah di Kuala Terengganu serta Pintu dan Pentas Santapan Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.
Menghargai bakat dan hasil usaha beliau dalam memartabatkan seni warisan bangsa ini, beliau telah menerima anugerah Tokoh Seni Negara pada tahun 1997.


6. Haji Wan Mustafa bin Wan Su

Haji Wan Mustafa atau lebih dikenali dengan panggilan WanPo dilahirkan di Kg. Pengkalan Kubur, Tumpat, Kekantan pada 5 Mei 1939. Beliau merupakan anak kepada Wan Su Othman.
Beliau telah didedahkan dengan ilmu ukiran di Bengkel Seni Ukir Wan Su, milik bapanya, malah beliau telah mendapat kepercayaan dari bapanya untuk meneruskan usaha dalam bidang ukiran dengan penyerahan bengkel ukiran tersebut kepada beliau. Kini, bengkel itu dikenali dengan nama Balai Seni Wan Mustafa.
Antara hasil kerja beliau adalah Panca Persada Istana Maziah, Pintu Istana Maziah di Kuala Terengganu, hiasan dalaman Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang dan hiasan dalaman Muzium Negeri Terengganu.

7. Norhaiza bin Nordin

Encik Norhaiza bin Nordin dilahirkan di Kg. Raja pada 20 Februari 1963. Setelah menamatkan persekolahannya pada tahun 1984, beliau telah menimba ilmu berkaitan bidang ukiran ini dengan beberapa tokoh ukiran tersohor. Beliau mula bekerja sambil belajar di Balai Seni Ukir Wan Mustafa Su, sebelum belajar dengan Allahyarham Tengku Ibrahim bin Tengku Wook, diikuti dengan Allahyarham Hj. Abd Rahman Long. Beliau juga turut berguru dengan Allahyarham Nik Rashidin bin Nik Husin, seorang pengukir terkenal di Kota Bharu, Kelantan.
Beliau menubuhkan bengkelnya sendiri yang dinamakan Bengkel Seni Ukir Bakawali pada tahun 1990. Antara hasil kerja beliau adalah hiasan dalaman Muzium Negeri Terengganu, Taman Lagenda Langkawi, hiasan dalaman Masjid Al-Hana di Kuah, Langkawi, Masjid Mukah di Sarawak dan hiasan Istana Melawati Petra Jaya. Ukiran beliau juga turut mendapat tempat di Auditorium dan Galeri Oxford Centre of Islamic School di Universiti Oxford, United Kingdom.
Beliau menghasilkan buku ‘Spirit of Wood, The Art of Malay Wood Carving’ yang memuatkan hasil beliau dan Allahyarham Nik Rashidin yang diterbitkan pada tahun 2003.
Usaha beliau menghidupkan seni ukiran di mata dunia dengan mengadakan pameran ‘Spirit of Wood’ yang dipamerkan di Asian Civilisation Museum, Singapura pada tahun 2003, Brunei Gallery London pada tahun 2004 dan Muzium Negara dan Muzium Terengganu pada tahun 2005.

Hubungi kami:

Alamat:
PA1043, Pusat Kraf Jalan Tengku Long
Kg. Raja
22200 Besut
Terengganu
No. Tel:
09-6954823 / 3823
No. Faks:
09-6958823
Alamat E-mail:
vanyilla@yahoo.com
harimau_malaya23@yahoo.com



0 Komen:

Copyright Tourism Malaysia
 

Perihal Blog dan Diriku

Blog ini diwujudkan sebagai tempat rujukan dan panduan kepada Pelancong dari dalam atau luar negeri Terengganu. Artikel yang dikarang adalah berasal dari buah pemikiran penulis sendiri berasaskan fakta dan rujukan dari buku dan media lain. Tidak wujud plagiat dalam penulisan dan juga dari sudut media iaitu gambar-gambar yang dipamerkan (watermart jomterengganu.blogspot.com) adalah hak milik blog ini dan tidak diambil dari mana-mana sumber lain. Sebarang masalah dan pertanyaan boleh email kepada saya selaku penulis blog di jomterengganu@gmail.com

Media