Friday, June 4, 2010

[Jom Daki] Gunung Tebu


Destinasi : Gunung Tebu.


Kali kedua aku menjejakkan kaki ke puncak Gunung Tebu. Inilah kisahku. Kali pertama aku mendaki Gunung Tebu adalah pada 7 tahun lepas bersama rombongan sekolah menawan Gunung Tebu. Gunung Tebu ini boleh dikatakan gunung tersohor di Terengganu. Dengan Ketinggian 1039 Meter Gunung ini amat berbaloi untuk didaki. 7 Tahun lepas aku mengambil masa kira-kira 6 Jam untuk sampai ke Puncak. Dengan membawa muatan yang agak kurang dan badan yang ringan 6 Jam itu dikira normal bagi para pendaki. Namun disebalik normal, ada juga yang tidak mampu sampai ke puncak gunung ini. Kali ini setelah 7 Tahun aku menyepi, aku gagahkan diri untuk mencuba sekali lagi menawan puncak gunung ini. Ikuti lah jurnal pendakian ku.

Hari Pertama : Pendakian ku bermula di kaki Gunung Tebu iaitu di Kawasan Perkelahan Lata Belatan, Besut, Terengganu. Lokasi 24KM dari Pekan Jertih dan 118KM dari Bandaraya Kuala Terengganu. Aku tiba pada jam 8. Pendakian kali ini hanya aku dan kawan karib ku Azlan. Berbekalkan pengalaman lepas aku yakin kami berdua pasti akan dapat menawan gunung ini. Di kaki gunung ini terdapat kemudahan seperti Tandas awam, Surau, Tapak Perkhemahan, Pondok Pengawal, dan Gerai Makanan. Untuk seseorang pendaki mendaki Gunung Tebu ini, mereka perlulah membayar cas RM5 setiap pendaki.

Bayaran tersebut boleh dibuat kepada renjer hutan yang bertugas di pos kawalan. Sebelum memulakan pendakian aku terlebih dahulu mengisi perut. Pendakian selama 6 Jam (mungkin) akan memerlukan banyak tenaga. Tips : Anda tidak perlu membawa bekalan air yang banyak pada permulaan kerana dalam perjalanan nanti, kita akan berjumpa dengan mata air yang mana boleh digunakan untuk bekalan ke Puncak. Bermula pendakian pada jam 9 Pagi, berbekalkan tawakkal dan keyakinan diri aku melangkah menuju ke puncak.

Hentian pertama setelah berjalan selama 30 minit, kita akan menjumpai persimpangan anak sungai dinamakan Sungai Cakah Dua. Di sini adalah tempat yang sesuai untuk para pendaki mengisi botol-botol kosong dengan air di sini. Airnya pasti sejuk dan menyegarkan. Setelah behenti rehat seketika dia hentian pertama ini. Aku dan rakanku meneruskan pendakian semula dengan botol yang penuh berisi air. Setiap 1000 Meter atau 500 Meter perjalanan, anda akan berjumpa dengan papan tanda yang menunjukkan jarak perjalanan anda ke puncak. Jika anda di Sungai Cakah Dua anda akan berjumpa papan tanda 5500 Meter. Pendakian diteruskan.

Setelah berjalan hampir 3 Jam dengan stuktur muka bumi yang agak condong sekitar 30-45 darjah mungkin, kami tiba di Batu Mat Hasan (gambar) yang mana mewakili separuh perjalanan kami sebelum sampai ke puncak. Di sini kami berehat agak lama sekitar 30 minit sebelum meneruskan pendakian. Pastikan anda berehat sepenuhnya di sini kerana perjalanan selepas ini akan lebih mencabar kerana anda akan dapati hanya cerun di hadapan anda untuk di daki sampai ke puncak.
Dalam perjalanan anda menuju puncak anda akan berjumpa dengan papan tanda ini " Jendela Pandang" Di sini anda dapat melihat satu panorama indah flora dan fauna seolah-olah melihat dari tingkap keindahan alam. Jika anda kehabisan air ditengah perjalanan lokasi terakhir untuk mengisi botol-botol anda ialah di sumber air terakhir sebelum puncak yang mana terletak kira-kira kuran dari 500 meter dari Jendela Pandang ini. Untuk ke sumber air ini pendaki perlu lah menuruni cerun sejauh 100 meter untuk sampai ke lokasi. Airnya yang cukup sejuk pastinya seronok untuk membasahkan kepala yang sedang kepanansan dek keletihan dan berpeluh.

Setelah bekalan air di "topup", kami meneruskan lagi perjalanan ke puncak yang hanya tinggal 2000 Meter sahaja lagi. Mungkin bunyi macam dekat tapi di sebabkan kedudukan geografinya yang agak cerun, kami beberapa kali berhenti dan hampir tertidur akibat keletihan. Dan kami gagahi diri untuk sampai ke puncak dan akhirnya kami sampai ke puncak. Aku pun terduduk keletihan yang amat. Di kira-kira jam tempoh perjalanan ku, hahaha 7 Jam!!! merosakkan rekod lama ku iaitu 6 Jam.

Di puncak Gunung Tebu ini, terdapat tempat-tempat menarik untuk di kunjungi seperti Batu Pelana Kuda yang mana berbentuk seolah-olah Pelana kuda. Kemudian Batu Madrasah iaitu sebuah batu besar di Puncak Gunung yang mana boleh dipanjat untuk melihat kawasan sekeliling, diikuti dengan Taman Bonzai yang mana anda dapat lihat Pokok-pokok Bonzai hidup di atas gunung. Dan di atas ini juga terdapat satu air terjun kecil yang mana airnya cukup sejuk. Setelah kami tiba di tapak perkhemahan iaitu 15 minit dari puncak gunung, kami mendirikan khemah dan bersedia untuk makan malam. Cuaca di atas puncak berkabus. Mungkin sekali awan. Dan semestinya sangat sejuk. Namun kami tidur dengan nyenyak pada malam itu akibat keletihan.

Dan semestinya tujuan kami naik ke Puncak Gunung Tebu ini adalah untuk menikmati Pemandangan Matahari naik. Setelah mengambil gambar kami terus berjalan menuruni Gunung Tebu dan sampai di kaki dalam masa 2 Jam 30 Minit sahaja. Terdapat satu lagi kumpulan lain yang turut mendaki bersama kami. Dan pastikan mereka yang minat akan perkara mencabar ini untuk cuba mendaki Gunung Tebu sebagai pelengkap ekspedisi ke Terengganu.


Kongsikan Bersama


0 Komen:

Copyright Tourism Malaysia
 

Perihal Blog dan Diriku

Blog ini diwujudkan sebagai tempat rujukan dan panduan kepada Pelancong dari dalam atau luar negeri Terengganu. Artikel yang dikarang adalah berasal dari buah pemikiran penulis sendiri berasaskan fakta dan rujukan dari buku dan media lain. Tidak wujud plagiat dalam penulisan dan juga dari sudut media iaitu gambar-gambar yang dipamerkan (watermart jomterengganu.blogspot.com) adalah hak milik blog ini dan tidak diambil dari mana-mana sumber lain. Sebarang masalah dan pertanyaan boleh email kepada saya selaku penulis blog di jomterengganu@gmail.com

Media